Friday, December 25

hikayat Jack

malam ini merupakan saat-saat terakhir jack melihat dunia yang fana, kerana selepas ini tanpa diketahui Jack, hayatnya telah sampai ke penghujung.

Al-fatihah buat Jack yang baru terlibat dalam kemalangan jalan raya sekitar jam 9.35 minit malam tadi. jangan salah faham, Jack bukanlah manusia. tetapi tiada siapa kata Al-fatihah hanya boleh disedekahkan kepada manusia.

entah berapa lama sejak dilahirkan ke dunia, Jack sejak dari kecil memang suka melompat. mungkin pada awalnya lompatan jack hanyalah sejengkal, namun lama-kelamaan lompatan Jack semakin kuat hingga dia mampu untuk melompat hampir 1 kaki.

sebelum mengenal dunia, Jack berkenalan dahulu dengan rakan-rakan sebaya yang sejenis dengannya. Jack tak tahu siapa ibu bapanya, sebab sejak kecil lagi dia dibela seorang apek dan diletakkan dalam sangkar dengan 'adik-beradik tiri' yang mempunyai rupa seiras dengannya. sejak dari situ lah ingatan Jack bermula. yang sebelum-sebelum tu Jack malas nak ingat balik.

apek yang bela Jack sangat baik. kadang-kadang apek tu lepaskan Jack keluar dari sangkar. masa ni lah Jack boleh tunjuk kehebatan melompatnya kepada tetamu-tetamu yang datang melihatnya. Jack selalu hairan dan bertanya kepada diri sendiri, kenapa tetamu-tetamunya selalu budak-budak kecil aja. lalu Jack membuat keputusan beranggapan mungkin di kalangan budak-budak kecil itu, ada sekelompok orang dewasa, cuma pertumbuhan mereka terbantut dan mereka kelihatan pendek. ini kerana perkara yang sama berlaku kepada salah seekor adik Jack yang sehingga kini masih tak besar-besar walaupun apek dah bagi banyak vitamin untuk pertumbuhan.

Jack dan adik-beradiknya yang lain pun turut diberikan vitamin yang sama, sehingga menyebabkan tubuh Jack besar luar biasa, dan boleh diklasifikasikan sebagai 'giant' bagi kelasnya. namun bagi Jack, ia merupakan suatu kebanggaan. ye lah, berapa banyak sangat kawan-kawan dia yang dapat layanan yang serupa.

sepanjang hayatnya, Jack belajar banyak benda. dari melompat, ke menghibur hati, sampailah ke menjadi doktor psikologi. mana taknya, kadang-kadang ada aja orang yang ambil Jack lepas tu cakap dengan Jack seolah-olah Jack faham apa yang diperkatakan. Jack pun layankan aja. nak membantah tak boleh. kalau boleh dah lama dah Jack suruh orang tu berambus.

tapi dari situ Jack belajar tentang erti kehidupan. Jack belajar tentang apa yang bahaya, apa yang tidak. apa yang sedap dimakan, apa yang pahit,masin, busuk, masam. Jack belajar cara-cara mendapatkan perhatian dari tetamu-tetamunya. tapi satu aja Jack tak belajar.

disiplin.

mungkin sebab tu lah apek yang bela Jack letak dia dalam sangkar, atau kalau dilepaskan pun, mesti ada pagar keliling tempat Jack berlegar-legar. Jack pun kadang-kadang naik tension sebab pagar kiri kanan. rasa macam kena penjara.

pada suatu hari, apek tu tengah kejar masa. ada meeting dengan rakan niaga. dia pun masuk van putih tulis vanette dia, hidupkan enjin, masuk gear reverse, lepas tu terus keluar menuju ke destinasi dia. pagar yang selalu mengelilingi Jack di biar terbuka luas. Jack pula masa tu tengah main-main dekat luar sangkar.

tanpa membuang masa, Jack yang memang dah lama mengidamkan kebebasan dari dunia yang terpenjara, terus melangkah keluar melalui pagar yang terbuka tu.

fuhh, bukan main seronok lagi Jack dapat keluar. dalam hati Jack berkata, 'banyak lagi benda best kat luar ni rupanya. patut lah apek tak bagi aku keluar.'

Jack pun menghabiskan masa bermain-main di luar dengan leka sampai lupa nak balik rumah asalnya. kemudian bila dia dah penat, tiba-tiba Jack rasa nak balik. Jack pun lekas-lekas bersiap-siap nak pulang.

bila dah siap, Jack melompat dengan riang gembira balik ke rumah. kiri kanan tak payah tengok. sebelum ni tak pernah pun dia tengok, takkan sekarang nak start.

tanpa disedari, jauh dari sudut kanan matanya, sepasang cahaya lampu kereta sedang bergerak menuju ke arahnya dengan pantas. kereta itu yang sedang dibawa oleh seorang pemandu berhemah terus memandu tanpa sebarang perasaan resah atau risau. tiba-tiba pemandu itu tekan brek secara mengejut sehingga kereta terhenti di tengah-tengah jalan!

pemandu tersebut keluar dari kereta, berjalan ke arah tayar kiri belakangnya, dan di situ terdampar kelibat seekor binatang di bawah tayar kereta. bila gerak lebih dekat, pemandu itu nampak dengan jelas, rupa Jack kena langgar dengan kereta.

Jack ketika saat-saat menghembuskan nafas terakhirnya, sempat mengimbas kembali waktu dia bermain-main dengan gembira dalam rumahnya, bersama adik-beradik tirinya. pada saat itu, Jack kalau boleh nak putar balik masa, lepas tu tak nak keluar dari pagar yang apek buat. tapi Jack pun tak menyesal juga keluar walaupun menerima pengakhiran sedemikian rupa. segala yang berlaku ketentuan Ilahi, bisik hati kecil Jack.

kemudian dunia bertukar gelap. tiada lagi bunyi bising kenderaan yang menghempap badan kecilnya. tiada lagi rasa sakit yang tak terhingga ketika Jack dilanggar oleh kenderaan tersebut. Jack merasakan seperti dia dah mencapai tahap Moksha, ketenangan dan ketenteraman yang teramat. akhirnya, semua menjadi senyap. Jack dah meninggalkan dunia yang fana. Jack pergi dengan perasaan puas hati.

selamat tinggal Jack.

No comments: